Wednesday 7 September 2011

Hantu Bonceng dan Karipap-karipap cinta

(ini bukan rebiu filem, ini rebiu peminat filem)

Aku terambil cuti lama pulak untuk raya. Orang lain dah mula kerja pada hari Isnin, aku bantai cuti sampai hari Rabu, Apa boleh dibuat? Nak beraya macam mana semua orang dah masuk pejabat. Jadi apa lagi, aku lakukan apa yang orang tak ada kampung macam aku perlu buat, tengok wayang di hari raya!

Bersama aku ialah Lan, seorang lelaki macho tapi hancho hanya omong kosong, yang mengambil cuti lagi laamaa dari aku. Sebagai seorang rakyat Malaysia yang kantoi tak bayar duit PTPTN lagi dan selalu menentang dasar kerajaan, aku mengambil keputusan untuk menyokong industri perfileman Malaysia sebagai satu-satunya cara aku menjadi seorang rakyat yang menyumbang sesuatu kepada negara. Di jadual tayangan terdapat dua filem Malaysia(Melayu) yang sedang ditayangkan, yakni Hantu Bonceng dan Karipap-karipap cinta. Melihat dari tajuk dan barisan pelakon, kita boleh jangka yang kedua-duanya merupakan filem yang berasaskan komedi.

HANTU BONCENG


Gambar dari http://filemwayang.com/

Pada mulanya kami merancang untuk menonton karipap-karipap cinta sahaja. Tapi mungkin kerana tidak ada sambutan, tayangan karipap-karipap cinta hanya mempunyai 2-3 tayangan sahaja dalam satu hari dan tayangan yang ada pada masa itu hanya pada pukul 7 malam. Lagipun aku dan Lan ada juga rasa was-was samada perlu atau tidak mengambil risiko 8 ringgit untuk menonton Karipap-karipap cinta yang tidak meyakinkan. Jadi aku pun berkata kepada Lan,

"Kita tengok Hantu Bonceng je lah. Confirm terhibur kot."

Jadi kami pun bersetuju untuk menonton filem tersebut dengan harapan, kredibiliti Zizan dapat membuatkan kami ketawa terbahak-bahak sampai muntah.

Sejam awal (atau setengah jam?sebab aku rasa macam lama) aku tak gelak LANGSUNG. Aku mintak maaf kerana terpaksa berterus terang. Gelak hembus hidung pun tak ada. Senyum senget sebelah ada la sikit-sikit. Ok, mungkin aku dengan Lan sahaja yang tidak ketawa, orang-orang sekeliling ada la jugak gelak sikit-sikit. Tapi ada satu babak yang membuat aku tersembur air liur, kalau aku tengah minum fresh oren yang aku beli time tu, mungkin aku akan bertumbuk sambil gelak dengan orang yang duduk depan. Babak di kaunter hospital di mana Zizan cuba memujuk Jue Aziz memang mengejutkan. Sorry, tak nak bagi spoiler.

Itu sahaja yang aku ingat. Lain-lain tak ada. Cerita tunggang langgang. Kadang-kadang rasa macam fokusnya bukan kat hantu pun ada. Ada juga goofs di mana mulut Zizan nampak bercakap sesuatu, tapi tak ada suara pun yang keluar. Yang aku paling tak selesa, banyak sangat dialog seperti main-mainkan agama. Mungkin juga aku tak sporting. Tapi mengucap berterabur ada selit perkataan 'syaitan'?Uhh..bahaya..bahaya.

Yang dapat menyelamatkan filem ini mungkin hanya gerak-geri Zizan yang kelakar, dan juga kecomelan Jue Aziz dan Juliana Evans (Juliana 'Event', cara sebutan Lan). Lain-lain? Indah khabar dari rupa. Tak terhibur. Kami terpaksa main bowling lepas tengok cerita tersebut untuk menghiburkan hati.


KARIPAP-KARIPAP CINTA



Akhirnya kami mengambil keputusan untuk menonton juga filem Karipap-karipap Cinta yang mempunyai waktu tayangan pada pukul 10. Kali ini kami disertai seorang lagi rakan yang merupakan seorang yang lebih patriotik dalam industri menonton filem Melayu, Yoe the liar.

Yoe menceritakan saat-saat ketika membeli tiket.

Penjaga kaunter tiket: Ye encik, nak tengok cerita apa?
Yoe: ..... (kumat-kamit sebut tajuk cerita pelan pelan)
Penjaga kaunter tiket: Cerita apa encik?
Yoe: ..pap..pap..cinta (masih lagi perlahan nada malu-malu)
Penjaga kaunter tiket: Cinta?
Yoe: karipap...karipap..cinta.
Penjaga kaunter tiket: OK KARIPAP-KARIPAP CINTA BERAPA ORANG?
Yoe:&*%*% jangan kuat sangat boleh tak?(dalam hati)

Karipap-karipap cinta adalah sebuah filem adaptasi dari novel yang bertajuk sama hasil tulisan Nazri M Annuar, seorang penulis novel, cerpen dan skrip yang sedang meningkat naik. Aku tak pernah baca novelnya, tapi aku selalu blognya dan juga menonton drama yang menggunakan skripnya. Apa yang aku tahu, pastinya banyak dialog-dialog atau quotes yang menarik yang akan dituturkan oleh para pelakon.

Awal pengenalan cerita, bibit-bibit penyesalan sudah sedikit timbul di mana ceritanya seperti longgar di sana-sini dan sedikit membosankan. Tetapi mata aku masih lagi melekat di layar, mungkin ada sedikit harapan dari segi skripnya. Lakonan pelakon-pelakon baru agak mengecewakan, nak buat macam mana, nama pun baru. Seperti filem-filem lain yang cuba memfilemkan sesebuah novel (Hollywood pun menghadapai masalah ini), aku dapat nampak masalah pengarah yang cuba memaparkan babak tertentu supaya sama seperti di novel. Aku dapat rasa jika cerita ini dibaca, ianya jauh lebih menarik.

Masuk sahaja babak pertengahan, graf cerita ini semakin meningkat. Aku dah gelak-gelak, Yoe dari awal dah ketawa memanjang, Lan pun dah gelak Hyena dia. Jadi cerita ini sudah mengatasi rate lawak lebih dari Hantu Bocang..Boceh? Lupa dah tajuk filemnya. Seperti dijangka, banyak dialognya sangat menghiburkan dan kelakar serta mempunyai mesej yang agak berat juga. Selain dialog, kekuatan watak-watak utama dan sampingan juga memainkan peranan yang penting dalam filem ini. Watak wanita yang gila kerana cinta, watak busker reggae yang muncul sekali sekala tetapi berjaya mengubah jalan cerita dan lain-lain. Lakon layar dan jalan cerita juga agak tersusun walaupun ada juga babak-babak yang tak ada kena mengena dengan cerita dan tak perlu. Mungkin lebih kepada untuk menyampaikan mesej, contoh seperti satu babak, pelakon utama, iaitu Ali lakonan Gambit dan rakan-rakan pergi mencari hantu, di sebuah rumah tinggal, tetapi hanya terjumpa sekumpulan manusia menonton bola sepak, di mana penulis cuba sampaikan tentang kegilaan rakyat Malaysia terhadap sukan bola sepak sehingga digelar Hantu Bola.

Bak kata Lan, masalah filem Melayu adalah pada penutupnya, ending. Selalu fail. Masalah ini juga terjadi pada filem Karipap-karipap cinta. Banyak juga persoalan "Apa jadi kat..", "Kenapa dia tak.." "Habis tu diorang jadi ke.." dan lain-lain lagi.

Nampak beza diantara dua filem ini. Satu filem hanya mengharapkan pelakon yang sudah popular, satu lagi filem memang menitikberatkan kekuatan skrip dan cerita. Tetapi secara keseluruhan, bak kata aku di Twitter (sila follow deep1nside, baru create),

"Karipap-karipap cinta mungkin bukan yang terbaik, tetapi lebih baik dari Hantu Bonceng". Huahua..


Ali: Aku dah naked ni.
Semua orang: Apa?
Ali: Eh, salah. Aku dah nekad ni.


Selamat menyokong filem Malaysia dan selamat hari raya!