Monday 12 March 2012

Di bawah ketiak ibu


Perasaan terkilan membuatkan aku menulis entri ini.

Biar aku cerita mengenai perihal diri aku. Oleh kerana terlampau banyak sifat positif dalam diri aku, jadi aku ingin memberitahu yang negatif sahaja. Aku seorang yang sangat degil dan rebellious. Aku sentiasa skeptik, suka melawan (selalunya melalui tindakan, bukan melalui kata-kata) dan selalu memberontak. Sifat-sifat kufur ini selalu aku amalkan ketika aku masih remaja. Syukur, sekarang ini aku mampu mengawalnya seiring dengan kematangan fikiran. Sifat-sifat ini diburukkan lagi apabila turut melibatkan ibu bapa aku. Ketika remaja, aku sering menipu mereka, ingkar arahan mereka, lupa nasihat mereka dan segala-gala yang anda dapat lihat dalam watak antagonis drama swasta yang pengakhirannya adalah samada disumpah menjadi batu, tak pun jadi gila.

Kemuncaknya apabila aku sanggup meninggalkan rumah (bukan lari rumah) tak balik-balik, tanpa menghubungi keluarga aku selama berbulan-bulan lamanya. Balik kampung dalam sehari, keluar semula berbulan-bulan tanpa khabar berita. Ada satu kali tu, raya haji pun aku tak balik. Lebih tepat lagi, sengaja tak balik. Hingga apabila mak aku berjaya menghubungi aku, aku boleh pula bertanya "Hah, ada apa call ni?!". Ok, anda sudah mula membenci saya nampaknya. Biar saya teruskan cerita.

Aku sangka aku boleh hidup tanpa mereka. Aku bebas dari kongkongan ibu bapa. Soal duit, aku sudah tak perlukan mereka kerana aku sudah ada duit sendiri. Nak keluar ke mana-mana tiada siapa bertanya. Aku ibarat layang-layang yang terputus talinya (Alleycats).  Aku ibarat merpati putih, patah sayapnya di udara, merbahaya (OAG). Aku tenggelam dengan kehidupan duniawi. Semua benda aku buat. Dosa pahala semua aku langgar.

Sehingga terjadinya suatu peristiwa yang mengubah landskap kehidupan aku. Melibatkan maruah dan juga kewangan. Pernah tengok kapal terbang terhempas dalam TV? Ha, macam tu lah aku rasa kehidupan aku jatuh dan hancur. Aku berperilaku seperti orang gila. Menangis dalam bas selamba je. Tercakap sorang-sorang. Depresi yang melampau aku alami ketika itu. Tetapi maaf, benda itu terlalu peribadi, aku tidak dapat menceritakannya secara terperinci.

Tapi, ada dua orang insan yang aku sangka akan membenci aku setelah peristiwa itu, tetapi berhempas pulas membantu aku. Mereka adalah ibu bapa aku. Ya, mereka masih dengan cara mereka, memarahi aku, menasihati aku, tetapi dalam masa yang sama, mereka cuba tolong mengeluarkan aku dari masalah tersebut. Aku yang patut ditendang keluar rumah, masih lagi dibantu dan dipulihkan. Sehingga akhirnya, aku berjaya menyelesaikan masalah aku sepenuhnya. Semangat aku pulih, dan aku dapat meneruskan kehidupan aku dengan lebih yakin.

Jadi bermula dari hari itu, aku berjanji, aku ingin menebus kembali masa dan waktu yang aku bazirkan ketika mengabaikan mereka. Aku ingin sentiasa memperuntukkan lebih masa aku bersama mereka. Kerana aku tidak mahu menyesal, jika mereka sudah tiada, aku tidak sempat mengenali mereka sedalam-dalamnya. Aku jadikan mereka kawan rapat aku. Melakukan segala-galanya bersama mereka. Priority masa aku adalah bersama mereka. They are everything for me.

Tetapi ada sesuatu yang membuatkan aku terkilan.

Aku telah diumpat oleh orang luar sebagai lelaki yang 'sentiasa duduk di bawah ketiak ibu'. Pergi ke mana-mana asyik dengan mak. Berborak, mesti ada topik pasal ibu aku. Nak ajak keluar, alasan mak ajelah yang aku bagi. Aku tersentak. Aku keliru. I keliru, I keliru. Keliru kerana, aku abaikan ibubapa memang salah, sentiasa pentingkan ibu bapa pun salah?

Mereka mungkin tidak faham setelah apa yang aku lalui, aku tidak sanggup lagi berjauhan sehingga membuatkan mereka menangis, hatta membuatkan mereka mengerutkan dahi sekalipun aku tidak mahu. Mak aku jarang menangis. Jadi apabila dia menangis kerana masalah yang ditimbulkan oleh aku, itu sudah sangat teruk. Tambahan pula mak aku sudah selalu tidak sihat. Aku bersyukur kerana aku tinggal bersama mereka, membolehkan aku menjaga mereka. Aku cuma mahu memberitahu, aku ingin sentiasa bersama mereka, sebagai menebus kesalahan yang telah banyak aku lakukan. Biarlah aku dikongkong, dijaga masa aku, jika itu memuaskan hati mereka. Dan sebenarnya bukanlah mereka mengongkong sangat. Cuma hendak tahu kemana aku pergi sahaja. Bukan melarang pun. Aku sudah puas hidup bersendirian. Aku cuma mahu berkongsi suka duka aku bersama mereka, di hadapan mata mereka. Apa yang aku lakukan ini, adalah satu cara untuk aku meminta maaf.

Akhir sekali, bukanlah aku kata korang kena balik kampung duduk dengan mak ayah pulak. Jika anda berjauhan dengan keluarga anda, sentiasalah pantau kehidupan mereka, berhubung dengan mereka. Mereka sebenarnya setiap hari memikirkan mengenai korang semua, tetapi pada masa yang sama, tidak mahu terlalu mengganggu kehidupan korang. Korang yang patut sukarela memberitahu perkembangan hidup korang kepada mereka. Sentiasalah balik berjumpa mereka. Gembirakanlah mereka selagi mereka masih hidup. Jangan nanti sesal tak sudah.

Kepada mereka yang tidak tahu, sekarang aku sudah bagitau, harap faham. Memang kalau di US, duduk dengan mak bapak sangat tidak cool. Biarlah. Hidup aku sentiasa cool, satu ni je lah yang aku tak cool. Kehkeh....





1 comment:

  1. beb, aku paham perasaan kau.

    sekarang aku tak boleh langsung berjauhan dengan mak ngn bapak aku.

    rindu mengalahkan orang bercinta doe.

    ReplyDelete