Sunday 18 March 2012

Pengaruh


Bak watak Winston Smith dalam novel '1984' karya Orwell yang menulis diari dalam ketakutan ancaman  telescreen, Thought Police dan Big Brother, aku di sini ketakutan menggunakan pencetak kepunyaan pejabat untuk mencetak kitab kehidupan melawan. Bukan kitab sangat pun. Kompilasi tulisan-tulisan dan artikel karya seorang penulis yang aku idolakan, dikumpul dan disusun menjadi sebuah buku kecil. Oleh kerana penulis ni suka tutup blog, aku pun ambil keputusan untuk simpan karya-karya beliau yang sangat mempengaruhi pemikiran aku.

Menggunakan barangan pejabat untuk kegunaan peribadi memang satu kesalahan. Ah, macam tak biasa. Aku tulis blog ni pun guna barang pejabat dan bersifat peribadi juga. Bagi bonus dah la sikit je. Eh, tu cerita lain.

Pendek cerita, aku berjaya cetak semuanya tanpa diketahui oleh sesiapapun. (Sekarang, anda pula yang sudah tahu). Tujuan asal aku bukanlah untuk membaca sangat, aku dah hafal kisah-kisah gaya penulisan dan watak-watak yang beliau tonjolkan.

Objektif asalnya adalah untuk diberi kepada adik bongsu aku, kerana sudah menjadi tanggungjawab seorang abang yang sudah meningkat usia, untuk mengPunk-rockan pemikiran adik pula.

Jadi pada malam itu, tatkala adik aku sudah pun membaca doa tidur, aku mengeluarkan kitab susunan aku itu dari dalam beg. Aku berdiri di sebelahnya dan tangan menghulurkan helaian-helaian kertas yang sudah dicantumkan menjadi buku, disuakan ke mukanya.

"Nah, baca dan faham," kata aku ringkas. Adik aku masih lagi tidak menyambut pemberian aku. Aku hanya letakkan buku tersebut di sebelahnya.

"Baca. Mungkin kau tak akan berapa faham sekarang. Tapi bila kau dah besar nanti, kau akan berterima kasih kepada aku kerana bagi kau benda ni. Tak apa. Buat masa ini, baca untuk bagi pandai buat karangan Bahasa Melayu."

Adik aku masih tidak memberi respon.

"Baca. Nanti kau boleh jadi macam aku," ayat 'boleh jadi macam aku' dituturkan sambil tangan kanan membuat jari telunjuk, bergerak dari atas kepala turun ke badan hingga ke lutut.

Mata adik aku menuruti tangan kanan aku, tetapi pandangan terhenti ketika tangan melalui bahagian perut aku. Lama beliau memerhati perut aku, beliau mengeluarkan suara.

"Terima kasih je lah." sambil menarik selimut.




1 comment: