Thursday 7 April 2011

Atas jalan

Jack Kerouac pernah memberi aku pengetahuan melalui bukunya On The Road, bahawa pemandu kenderaan ketika zaman 50an di sana(Amerika Syarikat) agak mudah untuk menumpangkan orang yang tidak dikenali lebih-lebih lagi para pengembara. Hasil daripada itulah yang membuatkan Salvatore “Sal” Paradise (Jack di dalam buku tersebut) sampai ke destinasi yang ingin dituju dan mencatatkan tulisan spontannya untuk aku baca .Mempengaruhi aku untuk cuba mengembara sepertinya dengan harapan agar pemandu-pemandu di sini juga dapat melakukan perkara yang sama. Harapan yang sangat besar mungkin.

***

Pagi tadi ketika aku baru sahaja pandu keluar melintasi pondok jaga kediaman, kelihatan seseorang lelaki berpakaian seperti seorang pengembara - beg Deuter, berseluar baggy pants paras lutut, t-shirt, berkasut kanvas, menunjukkan bahasa tubuh yang aku rasa sering dilakukan Kerouac di dalam bukunya, menahan kereta aku untuk ditumpangkan. Masih lagi dengan inspirasi dan semangat On The Road, aku berhenti ke tepi sambil menurunkan tingkap kereta.

"...." aku angkat kening, bahasa tubuh seorang yang moody di pagi hari, bermaksud "Ada apa?" 

"Boleh tak tumpangkan saya ke Petronas bawah tu?" tanya si Pengembara sambil tersenyum mesra. Stesyen minyak Petronas terletak kira-kira 2 kilometer sahaja dari tempat dia menahan kereta aku. Tambahan pula kediaman aku di atas bukit, tidak perlu menekan pedal minyak pun boleh sampai ke stesyen minyak tersebut. Tiada masalah besar. Pas de problème.

"Maaflah, saya ikut jalan lain. Maaf ya," kata aku sambil angkat tangan dan menekan pedal minyak kereta. Beliau, masih dengan kemesraan, mengangguk dan menerima jawapan aku dengan mesra juga.

Beberapa minit kemudian, aku memandu melalui hadapan stesyen minyak Petronas kerana memang ada hanya satu jalan yang boleh dilalui kenderaan, tiada jalan lain.

Nampaknya aku terpaksa akui hakikat bahawa memang sukar untuk 'On The Road' di Malaysia.



No comments:

Post a Comment