Friday 15 April 2011

Nasihat orang tua

Aku sudah hilang ghairah untuk melawan. Aku rindukan zaman muda ketika semangat so-called punk masih menggelegak, menentang kelaziman, menentang fesyen dan trend, melawan kesumbangan pemerintah, menentang skeptikal masyarakat, menentang dan melawan segalanya. Anarkis maya dalam pemikiran masih lagi utuh, dimana peraturannya ialah, tiada peraturan. Diterjemah ke kertas murah zine, penulisan dan pembacaan propaganda anak muda. Segala formaliti yang dikuasai susuk berkuasa dipecahkan dengan ketidakpedulian. Curiosity menjadi permainan harian yang mengujakan.

Tetapi semua aku dah tak rasa lagi.

Kini aku melihat semua perjuangan dan pegangan anak muda, hanya dari jauh. Seperti seorang fedo berdiri di luar pagar tadika, dengan tangan di dalam poket seluar. Nak sahaja aku menjerit, "Perjuangan kamu tak akan kekal!". Tapi aku tahu, aku akan dihambat, diejek bak veteran perang yang mengatakan perang itu sia-sia. Bak polis pencen yang mengatakan semua polis rasuah. Itu juga yang akan aku lakukan kepada sesiapa yang menentang kami pada suatu ketika dahulu. Kini aku terpaksa berjalan, dalam arus yang sama dengan semua orang. Jalan selamat. Kalau aku masih lagi berfikir dan bertindak seperti 10 tahun yang lalu, kudrat aku sudah tidak mampu untuk menyeret dompet yang ringan. Aku turut serta menyembah kertas kepala agong, sama seperti hamba kapitalis yang lain.

Maka tiada apa lagikah yang boleh ditentang?Tiada apa yang boleh dilawan?

Diri sendiri. Perjuangan melawan diri sendiri bukan bermakna menumbuk diri sendiri secara tiba-tiba. Itu bangang namanya. Perjuangan memperbaiki diri, menentang segala yang negatif yang menghancurkan kehidupan. Menentang segala pemikiran lemah dan takut yang boleh merencatkan otak. Tubuh adalah negara tempat tinggalnya roh dan minda, jadi anarkikanlah, punk-rockkanlah ia sepertimana yang kita mahu, dari segi pemikiran dan prinsip. Perjuangan yang melibatkan fizikal dan metafizikal yang sememangnya mencabar, tapi berbaloi. Tidak perlu pergi jauh untuk mengubah pemikiran dan kehidupan orang lain, mulakan dari diri sendiri. Tidak perlu berambut mohawk dan patches di jaket lagi.

Hey ho let's go!

1 comment: